Bekas Pengarah Syarikat Dituduh Kerana Menyalahgunakan Kedudukan Dan Harta Syarikat Tanpa Kelulusan Di Mesyuarat Agung

Kuala Lumpur, 18 Januari 2021: Seorang bekas pengarah syarikat Semenyih Jaya Sdn Bhd (No. Syarikat: 106778-U), Lau Kok Loon @ Lau Say Siok (‘tertuduh’) telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah (12) Kuala Lumpur dengan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 132(2)(a) dan Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 yang mana setiap satu pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh lima tahun atau denda sebanyak RM30,000.00 jika sabit kesalahan.

Seksyen 132(2)(a) dan (c) Akta Syarikat 1965 antara lain memperuntukkan adalah menjadi kesalahan sekiranya seseorang pengarah atau pegawai syarikat menggunakan harta syarikat dan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah atau pegawai syarikat sedemikian, tanpa persetujuan atau ratifikasi suatu mesyuarat agung, bagi mendapatkan, secara langsung atau tidak langsung, sesuatu manfaat bagi dirinya sendiri atau mana-mana orang lain, atau menyebabkan syarikat itu terjejas. Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah lima tahun penjara atau denda sebanyak RM30,000.00.

Berdasarkan kepada kertas pertuduhan, tertuduh dikatakan telah menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat bagi mendapatkan suatu manfaat bagi dirinya sendiri dan turut menyalahgunakan harta syarikat iaitu dengan mengeluarkan duit berjumlah RM10,000,000 melalui empat keping cek milik syarikat Semenyih Jaya Sdn Bhd di atas nama tertuduh tanpa sebarang kelulusan di mesyuarat agung. Tertuduh telah mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan-pertuduhan dibacakan terhadap beliau.

Puan Hakim Siti Noraida Sulaiman membenarkan jaminan sebanyak RM30,000.00 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan passport antarabangsa beliau diserahkan kepada Mahkamah serta tertuduh turut dikehendaki untuk melaporkan diri di balai polis pada 1 haribulan setiap bulan. Tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan ditetapkan pada 27 Januari 2021.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Nadia Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Dato’ LM Chong dari Tetuan Chong & Keng Hoe.

Pendakwaan ini merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan boleh diambil ke atas pengarah dan pegawai syarikat sekiranya didapati melakukan perlanggaran terhadap tugas fidusiari sebagai pengarah dan pegawai syarikat. Tindakan perundangan juga akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah akta-akta yang dikawalselia oleh SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

BERTARIKH: 22 JANUARI 2021​

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How We Can Help You?

GET A BUSINESS CONSULTATION

Get in touch now to learn more about our services and total solutions.