KPDNHEP Terus Menyokong Agenda Pemerkasa Melalui Inisiatif Baharu SSM Menaikkan Nilai Ambang Keterhutangan Syarikat Kepada RM50 Ribu

Putrajaya, 1 April 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus mempergiat usaha mendokong agenda Kerajaan memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi memastikan kelangsungan perniagaan ke arah pemulihan ekonomi negara.

​SSM di bawah pentadbiran yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBrs. Puan Nor Azimah Abdul Aziz pada tahun 2020 telah menaikkan nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold daripada RM10,000 kepada RM50,000 bermula 23 April 2020 sehingga 31 Mac 2021 bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan.

Inisiatif ini telah disenaraikan sebagai salah satu daripada agenda PEMERKASA di bawah inisiatif ke-9 sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Mac 2021 yang lalu.

Kesan pelaksanaan ini telah menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah Petisyen Penggulungan yang diserah simpan ke SSM. Bagi tempoh bulan April 2020 hingga September 2020, hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 dan 2018 iaitu sebanyak 1,760 dan 1,533. Penurunan ini sekaligus membuktikan bahawa inisiatif tersebut dapat membantu mengekalkan survival syarikat dalam menghadapi cabaran COVID-19.

Setelah mengambilkira ketidaktentuan keadaan ekonomi global dan dalam negara akibat kesan pandemik COVID-19. SSM sekali lagi mengambil inisiatif dengan menaikkan nilai ambang keterhutangan syarikat di bawah perenggan 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 kepada RM50,000 berkuat kuasa 1 April 2021 sebagai satu nilai ambang baharu yang kekal.

Tindakan pengekalan nilai ambang keterhutangan syarikat kepada amaun yang melebihi RM50,000 berbanding nilai ambang keterhutangan sedia ada iaitu RM10,000 adalah penting bagi meringankan beban syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai daripada tindakan penggulungan.

Kenaikan nilai ambang keterhutangan syarikat ini dijangka akan dapat mengurangkan jumlah petisyen penggulungan syarikat dan syarikat mampu meneruskan urusan perniagaan korporat dengan yakin serta masih mematuhi undang-undang syarikat berdasarkan relief kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan.

Jumlah ini dianggap bersesuaian kerana ianya tidak terlalu rendah sehingga menyebabkan syarikat diambil tindakan penggulungan oleh mana-mana pemiutang dengan jumlah hutang yang kecil, tetapi tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan pemiutang kecil terbeban akibat tidak boleh mengambil tindakan penggulungan terhadap syarikat tersebut.

SSM berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu menyokong sektor korporat dalam tempoh pemulihan ekonomi khususnya kepada syarikat yang terjejas akibat tempoh wabak COVID-19.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

DATO SRI ALEXANDER NANTA LINGGI

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Putrajaya

1 April 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How We Can Help You?

GET A BUSINESS CONSULTATION

Get in touch now to learn more about our services and total solutions.