KPDNHEP Menyokong Agenda Pemerkasa Melalui Inisiatif Tambahan SSM Dengan Melanjutkan Inisiatif Pengecualian Kompaun

​Putrajaya, 23 Mac 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik usaha Kerajaan memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) seperti yang diumumkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Mac 2021 yang lalu.

Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 20 inisiatif strategik dengan peruntukan berjumlah RM20 bilion disediakan bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Kementerian ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang amat prihatin terhadap komuniti peniaga dengan turut merangkumkan dalam agenda PEMERKASA tersebut, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah agensi di bawah KPDNHEP bagi mengurangkan beban entiti perniagaan melalui Inisiatif Ke-9: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi dan juga Inisiatif Ke-18: Prihatin OKU.

Melalui Inisiatif Ke-9, SSM bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan. Melalui Inisiatif Ke-9 ini juga, SSM memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Melalui Inisiatif Ke-18 pula, golongan OKU berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

Bagi menyokong agenda PEMERKASA, KPDNHEP melalui SSM akan turut melanjutkan tarikh tamat inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021.

Inisiatif ini adalah lanjutan daripada pelaksanaan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan mulai 17 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 sebelum dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2021. Inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu pula mula diperkenalkan mulai 1 Januari 2021 dan akan berakhir pada 30 Jun 2021.

Melalui inisiatif terbaharu SSM ini, kedua-dua inisiatif tersebut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Pengecualian kompaun ini diperkenalkan bertujuan membantu komuniti perniagaan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana ramai peniaga dan bakal peniaga terutamanya yang berada di luar bandar tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu yang akan menyebabkan mereka dikenakan kompaun.

Pelanjutan inisiatif pengecualian kompaun ini dijangka dapat memberi penjimatan sebanyak RM13.7 juta untuk dimanfaatkan kepada lebih 330,000 komuniti peniaga dalam mengharungi cabaran semasa.

SSM berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu komuniti perniagaan meneruskan perniagaan dan menggalakkan lebih ramai bakal peniaga menceburi bidang perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi domestik di Malaysia yang terkesan akibat pendemik Covid-19.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

DATO SRI ALEXANDER NANTA LINGGI

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Putrajaya

23 Mac 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How We Can Help You?

GET A BUSINESS CONSULTATION

Get in touch now to learn more about our services and total solutions.