Pegawai Pematuhan Bagi Sebuah Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) Dituduh Kerana Membuat Pernyataan Palsu Kepada SSM

Kuala Lumpur, 08 Februari 2021 – Seorang rakan kongsi yang juga pegawai pematuhan bagi Brilliant Dyslexia PLT (No PLT: LLP0014288-LGN), Chua Yueh Ling (tertuduh) telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah (8) Shah Alam untuk menjawab satu pertuduhan di bawah Seksyen 80(1) Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 kerana dikatakan telah membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir-butir material dalam borang “Change of Particulars” bertarikh 17 Ogos 2018.

Tertuduh dikatakan telah membuat pernyataan palsu dengan mengeluarkan nama Bulan Poerbo Ayu, seorang warganegara Indonesia daripada menjadi rakan kongsi PLT tersebut tanpa pengetahuan dan kebenaran beliau sedangkan tertuduh tahu bahawa pernyataan tersebut adalah palsu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan meminta dibicarakan. Puan Hakim Rofiah binti Mohamad membenarkan jaminan sebanyak RM8,000.00 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan ditetapkan pada 16 Mac 2021.

Seksyen 80(1) Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 antara lain memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan apabila membuat atau memberikan apa-apa pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada Pendaftar berkaitan apa-apa perkara yang dikehendaki bagi pelaksanaan Akta tersebut dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda tidak kurang daripada RM150,000 namun tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

SSM memandang berat kesalahan seumpama ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM selaku badan kawal selia korporat di Malaysia. Tindakan pendakwaan ini merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM termasuklah kesalahan memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Farieza Hazreen Salehuddin, Norliana Azenan dan Nurul Husna Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili oleh peguam K. Vibalananthan dan Syafiqah Rosli dari Tetuan Vib & Co.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

16 Februari 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How We Can Help You?

GET A BUSINESS CONSULTATION

Get in touch now to learn more about our services and total solutions.