SSM Perkenal Tiga Inisiatif Baharu, Lanjutkan Satu Inisiatif Sedia Ada Untuk Bantu Komuniti Perniagaan Semasa Tempoh Total Lockdown

Kuala Lumpur, 1 Jun 2021– YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin telah mengumumkan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA +) pada 31 Mei 2020 untuk mengurangkan bebanan komuniti perniagaan dan sektor korporat yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Total Lockdown Fasa Pertama.

Empat (4) daripada inisiatif-inisiatif yang diumumkan tersebut turut melibatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seperti berikut:
(1) Inisiatif 1: Tempoh moratorium 30 hari dari tarikh berakhir ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama untuk serah simpan dokumen dengan SSM
Bagi semua transaksi di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang perlu diserah simpan atau dikemukakan kepada Pendaftar dalam tempoh ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama, moratorium selama 30 hari dari tarikh akhir ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama diberikan untuk serah simpan dilaksanakan dalam tempoh moratorium tersebut.
(2) Inisiatif 2: Pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dalam tempoh ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama
Sebagai tambahan kepada moratorium serah simpan dokumen selama 30 hari, SSM juga bersetuju untuk mengecualikan fi lewat serah simpan syarikat dalam tempoh moratorium bagi dokumen berkanun syarikat yang terlibat di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.
(3) Inisiatif 3: Tempoh pelanjutan masa untuk (a) edaran penyata kewangan bagi syarikat; (b) pematuhan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM); (c) serah simpan penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 1 November 2020 hingga 31 Januari 2021; dan (d) pengenepian fi permohonan berjumlah RM100.00 untuk ketiga-tiga permohonan di atas. Penjelasan tempoh lanjutan masa yang diberikan adalah seperti berikut:
(a) Edaran penyata kewangan berakhir 1 November 2020 hingga 31 Januari 2021
SSM akan memberikan lanjutan masa untuk syarikat mengedarkan penyata kewangan bagi tempoh sembilan puluh (90) hari dari tarikh yang dinyatakan di bawah seksyen 258(1) Akta Syarikat 2016 dan Nota Amalan 3/2018.
(b) Pematuhan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)
SSM bersetuju untuk memberikan lanjutan masa kepada syarikat yang terkesan dengan pelaksanaan ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi tempoh 90 hari selaras dengan peruntukan seksyen 340(4) Akta Syarikat 2016.
(c) Tempoh pelanjutan masa untuk menyerah simpan penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 1 November 2020 hingga 31 Januari 2021
SSM akan memberikan lanjutan masa kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 1 November 2020 hingga 31 Januari 2021 untuk menyerah simpan penyata kewangan dalam tempoh 90 hari selaras dengan kuasa Pendaftar dari tarikh yang dinyatakan di bawah seksyen 259(2) Akta Syarikat 2016.
(d) Pengenepian fi bagi permohonan pelanjutan masa
SSM akan mengenepikan fi permohonan berjumlah RM100.00 untuk ketiga-tiga permohonan di atas selaras dengan kuasa Pendaftar di bawah
Peraturan 8(5) Peraturan-Peraturan Syarikat 2017.
YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan pelanjutan inisiatif sedia ada, iaitu inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan pembaharuan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan, yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
Selain dari empat (4) inisiatif yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, SSM telah melanjutkan inisiatif sedia ada berhubung pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016, dari 30 Jun 2021 kepada 31 Disember 2021.
Bagi tahun 2021, SSM telah memperkenalkan sembilan (9) inisiatif  sedia ada bagi mengurangkan beban peniaga dan komuniti korporat akibat dari pandemik Covid-19.
Bagi inisiatif pertama, SSM telah memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang membolehkan pendaftaran perniagaan secara percuma diberikan kepada golongan B40 dan pelajar sepenuh masa (IPTA/IPTS, Kolej, Institut & Pusat Kemahiran). Melalui inisiatif ini, seramai 1,969 pelajar sepenuh masa dan 6,519 usahawan golongan B40 telah berjaya mendapatkan pendaftaran percuma dari tempoh 1 Januari sehingga 30 April 2021.
Bagi inisiatif kedua, SSM telah mengecualikan kompaun atas kelewatan pembaharuan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan sehingga 31 Disember 2021 untuk membantu usahawan yang lewat mendaftar perniagaan atau lewat memperbaharui pendaftaran perniagaan untuk memulakan perniagaan serta akan membantu mereka memperbaharui pendaftaran perniagaan yang telah tamat semasa pandemik Covid-19 ini tanpa dikenakan penalti atau kompaun. Sehingga 30 April 2021, sebanyak 162,761 perniagaan telah menikmati pengecualian kompaun ini.
Bagi inisiatif ketiga, SSM telah menaikkan nilai ambang keterhutangan syarikat dari RM10,000 kepada RM50,000 secara kekal berkuatkuasa 1 April 2021. Pengenalan inisiatif ini telah berjaya mengurangkan jumlah petisyen penggulungan syarikat di mana dari tempoh 1 Januari sehingga 30 April 2021, sebanyak 220 petisyen penggulungan direkodkan. Jika dibandingkan dengan tahun 2019 dan 2020, jumlah petisyen penggulungan syarikat adalah lebih tinggi iaitu 1,029 pada tahun 2019 dan 701 pada tahun 2020.
Bagi inisiatif keempat, SSM akan meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang menawarkan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan percuma kepada golongan kelainan upaya. Sebanyak 810 perniagaan telah didaftarkan di bawah skim ini bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 April 2021.
Bagi inisiatif kelima, SSM telah melanjutkan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Pada 31 Mac 2021, SSM BizTrust telah diperkenalkan sebagai business starter kit berbentuk kod QR yang berfungsi sebagai pengesahan identiti digital (digital identification) serta semakan maklumat entiti perniagaan di mana objektifnya adalah selaras dengan peruntukan pematuhan akta-akta yang ditadbir oleh SSM. Ia diberikan secara automatik kepada entiti perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan mempunyai akaun di portal ezBiz Online. Sejak dari pengenalan SSM BizTrust sehingga 30 April 2021, sebanyak 95,434 entiti perniagaan dalam talian telah berdaftar dengan SSM BizTrust.
Bagi inisiatif keenam, SSM telah mengurangkan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 sehingga 30 Jun 2021. Seperti yang dimaklumkan di atas, inisiatif ini telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Setakat 30 April 2021, sebanyak 4,626 syarikat telah memanfaatkan inisiatif ini.
Bagi inisiatif ketujuh, berkuatkuasa 1 Januari 2021, SSM telah bersetuju untuk mengiktiraf semua 20 mata Continuing Professional Education (CPE) setahun yang dikumpul melalui latihan secara dalam talian bagi tujuan pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Setiausaha Syarikat. Setiausaha syarikat boleh menghadiri latihan secara dalam talian bagi memastikan keperluan pengumpulan mata CPE dipatuhi sebagai syarat untuk memperbaharui Sijil Perakuan Amalan Setiausaha. Inisiatif ini sebagai pemudahcara kepada golongan intermediari korporat khususnya setiausaha syarikat untuk mendapatkan mata CPE serta merancakkan peluang ekonomi kepada pemain industri latihan yang menawarkan latihan melalui kaedah digital. Sebanyak 2,650 permohonan pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Setiausaha telah diterima dan diluluskan oleh SSM dari 1 Januari 2021 sehingga 30 April 2021.
Sebagai inisiatif kelapan, dari segi pemerkasaan undang-undang yang ditadbir, SSM sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (Pindaan) Syarikat bagi membolehkan syarikat yang berhadapan masalah kewangan untuk:
(a) Meluaskan pemakaian mekanisma penyelamat korporat iaitu perkiraan sukarela korporat dan pengurusan kehakiman kepada semua jenis syarikat kecuali syarikat yang dikawal selia oleh   Bank Negara Malaysia atau syarikat yang dilesenkan atau diluluskan di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007;
(b) Mengukuhkan peruntukan berkaitan skim perkiraan atau kompromi untuk dimanfaatkan sebagai satu proses rehabilitasi korporat dengan menyediakan peruntukan yang lebih lengkap dan proses yang lebih efisien serta telus untuk membolehkan skim yang dicadangkan dapat diluluskan di samping melindungi hak-hak pemiutang sedia ada; dan
(c) Membolehkan syarikat yang memohon perintah pengurusan kehakiman atau yang mencadangkan skim perkiraan atau kompromi mendapatkan pembiayaan penyelamat dari sumber kewangan baru dan pembiaya baru ini diberi keutamaan khas tanpa menjejaskan kepentingan pemiutang sedia ada sekiranya syarikat digulungkan.
Bagi inisiatif kesembilan (terakhir), SSM akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2021 bagi memperkenalkan CRM kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan. RUU ini bertujuan untuk menambahbaik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi PLT.
Penambahbaikan serta pindaan untuk memperluaskan pemakaian perundangan berhubung CRM ini akan membantu PLT yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat agar PLT boleh
terus beroperasi (stay afloat). Inisiatif ini adalah penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat dari kesan pandemik Covid-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara. RUU ini juga akan memperkenalkan peruntukkan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.
SSM berharap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh sektor korporat untuk memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila kemukakan melalui e-mel ke enquiry@ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 1 Jun 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How We Can Help You?

GET A BUSINESS CONSULTATION

Get in touch now to learn more about our services and total solutions.