Pengarah Syarikat Didenda Bagi Kesalahan Di Bawah Seksyen 132(2)(a) Dan 132(2)(a) Akta Syarikat 1965

Jumaat, 19 Februari 2021: Seorang pengarah syarikat Derbara Industries Sdn Bhd (201301012109), Aziz bin Intan (Tertuduh), 47 tahun, telah mengaku salah di Mahkamah Sesyen 2 Kangar, Perlis kerana kesalahan menggunakan harta syarikat tanpa kebenaran Mesyuarat Agung Tahunan syarikat dan juga menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat untuk mendapat keuntungan bagi diri sendiri.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah kerana menggunakan harta syarikat Derbara Industries Sdn Bhd (No. Syarikat: 201301012109) iaitu sejumlah wang RM15,000.00 yang dipindahkan ke dalam akaun atas nama beliau sendiri yang mana perbuatan tersebut dilakukan tanpa kebenaran Mesyuarat Agung Tahunan syarikat. Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati bersalah memindahkan wang syarikat berjumlah RM33,927.00 ke dalam akaun perniagaan DL Planet (201103165766), yang mana perniagaan tersebut turut dimiliki oleh beliau dan perbuatan ini juga dilakukan tanpa kebenaran Mesyuarat Agung Tahunan syarikat.

Selepas merekodkan pengakuan bersalah dan mensabitkan tertuduh, Hakim Tuan Musyiri Peet telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000.00 atau tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 132(2)(a) dan Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965

Hukuman denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah dalam kes memberi mesej yang jelas kepada komuniti korporat khususnya semua ahli lembaga pengarah bahawa SSM memandang serius akan pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta-Akta dan undang-undang lain yang ditadbir dan dikawal selia oleh SSM.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini diharapkan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh secara khususnya dan juga sebagai peringatan kepada orang awam secara amnya dalam memastikan kepatuhan kepada segala peruntukan di bawah undang-undang yang termaktub ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Abdul Hadi Abdul Muti, Muhammad Afif Abdullah dan Mohd Iqbal Mohd Yusoff, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Fatin Hayati Abdul Rahman.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

19 FEBRUARI 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How We Can Help You?

GET A BUSINESS CONSULTATION

Get in touch now to learn more about our services and total solutions.